Friday, August 26, 2011

Saat Ini.

Aku duduk termenung...

Sengaja kubiarkan fikiran ini melayang jauh-jauh. Ke masa hadapan... Yang kadang terasa dekat amat, dan kali lain pula seakan cuma mimpi yang tak tergapai. Aku mahu jadi orang tersohor, bergaji paling kurang lima angka, berumahkan istana idaman berkereta bagak mendabik dada berjalan di tengak awam. Kerana pentingnya aku seorang insan yang sangat signifikan dalam masyarakat. Muka hadapan akhbar saban hari seperti album gambar peribadiku.

Lalu fikiran ini membuat aku gentar. Bagaimana jika berlaku sesuatu di tengah jalan, tak terduga tak bertanda. Muncul menghancur cita, merobek mimpi-mimpi indah masa yang bakal. Wah, menarik! Aku takut kehilangan perkara yang belum pasti pun kan kukecap. WAJARKAH AKU MENCARI-CARI BERMIMPI KESENANGAN AKAN DATANG?

Boleh jadi saja satu apapun yang kuangan-angankan tak jadi milikku. Mungkin sebelum langsung ketermenungan ini jantungku tak lagi berdegup.


Aku duduk termenung mengenang kisah silam. Salah silapku yang tak terkira. Ratusan ribu hati yang terguris terluka dek pancungan lidah tanpa panduan akal. Berapa tubuh yang menderita penangan kaki tanganku yang tak mengenal ihsan bila merah segalanya dek api marah dendam iri hati tak berkesudahan. Siapalah aku untuk merubah semua ini. Layakkah aku bergelar insan baik-baik yang kadang-kadang hilang muncul didepan belakangku. Mungkinkah keinginan ini untuk berubah hanya alasan sekali lagi mainan mindaku sendiri untuk memperbodohkan diri ini yang selalu tertipu dengan air mata palsu. Esok akan kubuat lagi. MANA AKHIRNYA? Perubahan itu wujudkah dan bolehkah?


Lalu kusedar masa ini detik ini ketika ini, ini saja yang mampu kukerah kudratku untuk bertindak. Kuarah mindaku untuk berfikir. Kudesak hatiku untuk sabar dan ikhlas. Hati dan diri liar ini jika tidak kuikat dengan panduan lembaran Sang Pencipta, nescaya akan teruuuussss jauh, dan jauh. Yang lalu usah dikenang berlebih-lebihan. Yang bakal tiba usah dirisau melampau-lampau. Sehingga hilang sedar jalan bengkok yang kulalui ini tersasar dari kebenaran kehendak kemahuan kehidupan sebenar. Mana jalannya? Mana jalan-Nya?

Keluarga, rakan, sahabat seperjuangan. Selamat hari raya maaf zahir batin. Dari diri yang lemah ini semoga kita temui jalan-Nya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails